DI saat kita merasakan diri berada dalam kesusahan, sebenarnya ada individu lain yang berdepan situasi jauh lebih sukar dan mencabar.
Itu yang dirasakan seorang pengguna TikTok, OmbakLindu yang berkongsi kisah [Tonton Video] seorang lelaki kelainan upaya yang berkaki satu gigih mencari rezeki.
Berdasarkan video berkenaan, lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan itu dilihat sedang mencari lokasi dipercayai untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan.
Paling menyentuh hati, dia kelihatan berjalan menggunakan tongkat, memegang dua bungkusan makanan di tangan kanan dan kiri sambil sekali sekali membaca alamat pelanggan.
Kegigihan lelaki berkenaan menyebabkan pengguna TikTok yang sedang ‘down’ itu sebak dan tersentak sekali gus membuatkannya tersedar untuk segera bangkit.
"Abang Panda, saya doakan abang sihat selalu dimurahkan rezeki. Sebelum abang ni lalu aku betul-betul tengah ‘down’ (lemah).
"Abang buatkan saya rasa bangkit semula dari ‘down’. Kepada yang sihat tak bekerja tu tengok betapa kuatnya abang ni," kata wanita berkenaan.
Sementara itu, menerusi perkongsian video yang berbeza di TikTok, wanita itu berkongsi tangkap layar perbualannya bersama penghantar makanan berkenaan.
Wanita itu memohon maaf kerana berkongsi video tersebut sehingga tular dan lelaki itu memaafkannya.
"Saya buat video tu sebab kebetulan masa tu saya tengah menangis. Bila abang lalu saya rasa kekuatan sebab saya mengeluh dengan ujian saya hadapi.
"Saya minta maaf ya bang sebab ambil video abang. Dalam video tu ramai mendoakan abang yang baik-baik," katanya.
Perkongsian berkenaan meraih perhatian netizen yang mendoakan lelaki dan wanita berkenaan dimurahkan rezeki.
"Akak doakan abang penghantar makanan dan pemilik TikTok ni dimurahkan rezeki.
"Lampu isyarat sentiasa hijau, agar dipermudahkan segala urusan dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik," antara komen netizen.