MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu membenarkan permohonan jaminan seorang wanita yang didakwa terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani, pada Selasa, yang membenarkan Norizan Ismail, 50, diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin sementara menunggu perbicaraan kes.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan antaranya tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran serta dilarang sama sekali untuk memandu kenderaan.
Lebih ketat lagi, suami kepada tertuduh juga perlu memastikan kunci kenderaan tidak boleh diakses oleh isterinya itu.
Norizan juga tidak dibenarkan keluar rumah tanpa ditemani suami selain perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital berkaitan.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rempuh 4 pelajar UiTM Dungun direman, dipercayai tak siuman memandu Honda CRV
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pelajar UiTM tunggang motosikal sama pernah ragut nyawa abang, bapa menggigil kali ke-2 ‘hilang’ anak... Emas hadiah terakhir buat ibu
Tertuduh turut diarahkan supaya tidak mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.
Mahkamah juga memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran syarat jaminan akan menyebabkan jaminan terbatal secara automatik.
Pada 20 April, Norizan yang juga ibu kepada tiga anak mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh tiga pelajar UiTM mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta satu pertuduhan cubaan membunuh di bawah Seksyen 307(1) kanun sama.
Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu dikenali sebagai Muhammad Akmal Md Tukirin (25), Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin, masing-masing berusia 20 tahun.
Tertuduh turut didakwa cuba membunuh seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, yang mengalami kecederaan parah akibat rempuhan tersebut.
Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada 9 Oktober tahun lalu kira-kira pukul 7.35 malam di jalan pantai berhampiran UiTM Dungun apabila SUV dipandu tertuduh merempuh motosikal dinaiki mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahir Jusoh.
Perbicaraan kes ditetapkan berlangsung selama empat hari bermula 3 hingga 6 Mei tahun depan.