suria

Anugerah Star Golden Hearts kembali untuk edisi ke-11

Kempen pencalonan SGHA 2025 dibuka selama lapan minggu sehingga 10 Ogos.

ANUGERAH Star Golden Hearts (SGHA) kembali untuk edisi ke-11, sekali lagi meraikan wira-wira rakyat Malaysia yang tidak didendang dan memacu perubahan positif serta perpaduan dalam komuniti.

Mengangkat tema 'Mengiktiraf yang Tidak Didendang, Menginspirasi Generasi Seterusnya', edisi tahun ini turut memperkenalkan penaja baharu iaitu McDonald’s Malaysia.

SGHA menandakan satu pencapaian penting dalam misi anugerah ini dalam usaha mengangkat usaha individu dan organisasi yang mungkin selama ini terlepas pandang walaupun memberi impak besar.

SGHA 2025 juga menyaksikan pelancaran Anugerah Caring Hearts McDonald’s, satu pengiktirafan khas kepada individu atau kumpulan akar umbi yang menunjukkan sifat prihatin melalui tindakan penuh kasih sayang mereka sehingga berjaya memperbaiki kehidupan orang lain secara  berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt berkata kerjasama dengan McDonald’s Malaysia mencerminkan nilai kebersamaan serta misi seiring kedua-dua pihak.

“Star Media Group dan McDonald’s Malaysia komited untuk memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang dengan meraikan wira tidak didendang yang benar-benar memberi kesan melalui belas kasihan dan tindakan.

“Kami percaya dengan kuasa penceritaan untuk menyerlahkan impak mereka, dan kini, dengan sokongan McDonald’s Malaysia, kita boleh memperluaskan capaian dan mengetengahkan lebih ramai suara rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran yang berlangsung pada Isnin.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, kerjasama dengan SGHA mengukuhkan lagi misi McDonald’s Malaysia yang berasaskan nilai dan tanggungjawab sosial, sejajar dengan prinsip teras syarikat.

“Kami ingin mengangkat suara pembawa perubahan yang mengubah kehidupan secara berkesan namun sering tidak mendapat pengiktirafan.

“Kerjasama ini mengingatkan kita bahawa tanggungjawab korporat bukan hanya tentang perniagaan. Ia mengenai mencipta impak yang berpanjangan dan bermakna,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan komitmen jangka panjang McDonald’s Malaysia dalam menyokong komuniti tempatan melalui program Komuniti @ McDonald’s yang dijalankan di seluruh negara.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Chan dan Melati serta disertai barisan panel hakim.

Ketua hakim yang baru dilantik ialah Tan Sri Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon, seorang tokoh korporat terkemuka yang komited dalam memperjuangkan pembangunan sosial dan komuniti melalui kepimpinan mampan.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Star Media Group, Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng.

Melalui SGHA, 10 penerima cemerlang akan dipilih oleh panel hakim, terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang berkaitan impak sosial.

Pemenang akan berkongsi hadiah wang tunai berjumlah RM90,000, menerima liputan media meluas di semua platform Star Media Group, dan mendapat akses eksklusif kepada SGHA Winners Network.

SGHA mengiktiraf sumbangan luar biasa rakyat Malaysia dalam lima bidang utama iaitu pemerkasaan komuniti; pendidikan; alam sekitar dan hidupan liar; kebajikan sosial; serta bantuan bencana dan krisis.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, SGHA telah menghargai lebih 100 individu dan organisasi yang telah mencetuskan inspirasi, mengubah kehidupan, dan memperkukuh komuniti di seluruh negara.

Kempen pencalonan SGHA 2025 dibuka pada Isnin (16 Jun) dan akan berlangsung selama lapan minggu sehingga 10 Ogos.

Orang ramai dijemput untuk mencalonkan individu atau organisasi yang melakukan kerja-kerja selaras dengan lima bidang utama SGHA.

Pencalonan sendiri juga dialu-alukan.

Untuk maklumat lanjut atau untuk menghantar pencalonan boleh layari https://www.sgha.com.my/

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia