SEORANG wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal yang dinaiki merempuh pintu sebuah kereta yang tiba-tiba dibuka di bahu jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 12.20 tengah hari itu, motosikal dinaiki mangsa berusia 55 tahun dan anak lelakinya dipercayai dalam perjalanan dari arah Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 1.45 petang.
"Semasa tiba di lokasi, pemandu kereta Toyota Vios iaitu lelaki berusia 35 tahun yang parkir di kiri jalan secara tiba-tiba membuka pintu kereta.
"Penunggang tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian pintu kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Zamzuri menjelaskan akibat perlanggaran itu, penunggang berusia 20 tahun tercampak ke atas jalan manakala ibunya terjatuh ke bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kanan.
Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Anak lelakinya pula mengalami kecederaan ringan pada kaki dan tangan.
Pemandu lori lelaki berusia 30 tahun yang terlibat dalam insiden itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.