suria

CEO Batu mengaku tak bersalah amang seksual remaja

CEO Batu dituduh lakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan, Mei lalu.

PEMPENGARUH, CEO Batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan, Mei lalu.

Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 22 tahun didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa yang berusia 13 tahun 10 bulan semasa kejadian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Batu Caves pada pukul 1.16 pagi pada 16 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mangsa kes ‘gambar parut’ CEO Batu buka cerita… Rutin sentiasa periksa telefon anak dedah segalanya

ARTIKEL BERKAITAN: Trauma terima gambar parut ‘uncle’ CEO Batu, ibu dedah anak berubah jadi pendiam

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie manakala tertuduh diwakili Mohd Anif Rafih, Amer Haiqal Mohd Yusof dan Muhammad Zulhanif Mohd Anas, selaku peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan selain dilarang menganggu mangsa.

Tarikh 14 Ogos ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Artikel Lain