suria

Helikopter PDRM terhempas: KPN sahkan dua kritikal, tiga lagi stabil

Helikopter PDRM terhempas semasa latihan di Gelang Patah, pada Khamis.

LIMA individu termasuk juruterbang cedera selepas sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa melakukan pendaratan cemas di Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor, pada Khamis.

Perkara itu disahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan.

"Helikopter dikendalikan seorang juruterbang berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dengan membawa empat penumpang.

"Semua lima mangsa diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor," katanya.

CAAM berkata, kesemua mangsa sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk penilaian dan rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Siasatan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan dua daripada lima mangsa berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan manakala tiga lagi dalam keadaan stabil.

Tambah beliau lagi, tiga daripadanya adalah anggota Unit Udara PDRM dan dua lagi adalah anggota Balai Polis Tanjung Kupang.

Terdahulu, helikopter milik PDRM itu sedang dalam latihan keselamatan serantau bersama pelbagai agensi sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia -Indonesia- Thailand- Singapore 2025 (MITSATOM 2025).

Artikel Lain