JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyiasat dakwaan wujudnya program kewanitaan yang menyelitkan unsur-unsur tidak bermoral serta bertentangan dengan agama.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Selangor dalam menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan.
Langkah itu bagi memastikan maklumat yang diterima adalah sahih sebelum sebarang tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"Kerajaan Madani melalui Jakim secara konsisten bersama pihak berkuasa agama negeri, tegas dalam menangani sebarang isu yang membabitkan kepentingan umat Islam khususnya berkaitan keharmonian institusi kekeluargaan, akhlak dan pemeliharaan nilai-nilai Islam.
"Usaha bersepadu ini juga adalah sebahagian daripada komitmen Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam menangkis sebarang gejala dan anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat," demikian kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula elok berbaju, program motivasi wanita didakwa buat aktiviti bogel ramai-ramai... Cium sesama jantina
Tambah Sirajuddin, umat Islam juga diseru agar tidak terpengaruh dengan fahaman serta gaya hidup yang bertentangan dengan agama dan budaya tempatan.
Dia juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat agar menghubungi Jakim dan pihak berkuasa agama negeri demi menangani sebarang unsur yang bertentangan dengan syarak.
Sebelum ini, mStar melaporkan pendedahan seorang pengguna Facebook mengenai program berkenaan yang didakwa berlangsung dari 27 hingga 30 September 2024 di Shah Alam, Selangor.
Dakwa individu itu, terdapat peserta yang berbikini dan berbogel dalam acara tersebut yang hanya dihadiri oleh kaum wanita sahaja.
Lebih teruk, dia mendakwa ada peserta yang bercium sesama sendiri dalam keadaan tanpa seurat benang.
Dalam hantaran sama, pengadu turut beberapa kali menyebut nama seorang wanita, dipercayai individu yang mengepalai program dan gerakan berkenaan.