RAKYAT Malaysia dikenal pasti sebagai salah seorang korban tragedi kapal karam KMP Tunu Pratama Jaya di perairan Selat Bali, Indonesia.
Ketua Subdit Dokpol Polda Jawa Timur, AKBP Adam Bimantoro berkata, mangsa disahkan sebagai Fauzey Awang, berusia 58 tahun.
Katanya, pengesahan identiti dibuat berdasarkan data perubatan serta barang milik mangsa seperti dompet dan kad pengenalan diri.
Tiga mangsa lain yang turut ditemukan bersama Fauzey adalah warga Indonesia Noval Hardiansyah, 15, Sofyan Wibowo, 18, dan seorang lagi belum dikenal pasti.
“Identiti mangsa dikenali berdasarkan pemeriksaan perubatan dan barang milik mangsa.
“Satu lagi jenazah masih belum dikenal pasti, seorang wanita yang ditemukan memakai seluar pendek jeans berwarna biru di Pantai Plengkung," katanya, memetik laporan media tempatan, ANTARA News.
Berdasarkan data daripada Posko Operasi SAR dan Pasukan SAR Gabungan di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, sehingga malam Khamis, iaitu hari kesembilan operasi pencarian, seramai 15 mangsa disahkan terkorban.
Sebelum ini, 30 orang ditemukan selamat, manakala 20 orang lagi masih hilang dan usaha pencarian masih diteruskan.
KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 anak kapal serta 22 unit kenderaan dilaporkan karam di perairan Selat Bali pada Rabu, 2 Julai lalu.