TENGKU Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dihujani ucapan tahniah selepas menamatkan pengajian di University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom (UK), pada Khamis.
Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Tengku Puteri Jihan mencatat kejayaan cemerlang dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang Tekstil di universiti berkenaan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat meraikan hari graduasi Tengku Puteri Jihan.
Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Tengku Puteri Jihan dan Tengku Nadhirah Zahrah menamatkan pengajian dalam bidang sama. -Foto Kesultanan Pahang.
Menurut laman Facebook itu lagi, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah turut berangkat meraikan kejayaan anakanda baginda berdua, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah yang memperoleh Sarjana dalam bidang sama.
Di ruangan komen, netizen turut mendoakan Tengku Puteri Jihan agar terus cemerlang dalam bidang diceburinya.
"Alhamdulillah tahniah Tengku Puteri Jihan, semoga tercapai apa yang dicita-citakan.
"Sekalung tahniah buat Tengku Puteri Jihan. Semoga berjaya mencari ilmu di dunia dan akhirat.
"Semoga industri tekstil Terengganu dan Pahang akan terus berkembang maju. Insya-Allah," antara komen netizen.