ENAM penumpang terselamat selepas tercampak ke laut apabila bot penambang yang dinaiki mereka bertembung dengan bot pelancong di perairan Semporna, Sabah pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 pagi itu, kesemua penumpang berusia lingkungan 30 hingga 40-an berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pemandu bot pelancong yang segera memberikan bantuan menyelamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Jaafar Hakim, berkata siasatan sedang dijalankan berhubung kemalangan membabitkan kedua-dua bot yang turut tular di media sosial [Tonton Video] .
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah bot yang membawa sembilan pelancong, termasuk seorang warga Switzerland, dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul.
"Dalam masa sama, bot penambang terbabit membawa penumpang dari Pulau Bum-Bum ke Pekan Semporna.
“Perlanggaran berlaku di bahagian kiri hadapan bot pelancong, manakala bot penambang mengalami kerosakan di bahagian depan. Akibat pelanggaran itu, semua penumpang tercampak ke laut,” katanya dalam kenyataan.
Jaafar berkata, tindakan pantas pemandu bot pelancong berjaya menyelamatkan kesemua penumpang yang tercampak ke laut, sebelum bot berkenaan meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul.
“Dalam kejadian ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mengemudi secara gopoh di laut, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.