MALAYSIA sedang menilai potensi kerjasama lebih erat dengan negara-negara BRICS sebagai satu langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD) dalam urusan perdagangan antarabangsa.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berkata, langkah kerajaan itu dapat membuka laluan baharu dan memberi manfaat kepada pasaran eksport Malaysia.
Selain itu, menurutnya ia juga berpotensi menurunkan kos barangan melalui penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala dengan negara-negara ahli BRICS seperti Brazil, India, China dan Rusia.
“Jika perdagangan antara Malaysia dan Brazil dijalankan dalam mata wang tempatan, kita tidak lagi terikat dengan turun naik USD.
"Ini berpotensi mengurangkan harga barangan dan tarif juga boleh dikawal dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi mStar.
Tambah beliau, ketika ini produk Malaysia yang ingin menembusi pasaran Amerika Syarikat berdepan cabaran besar apabila dikenakan tarif sehingga 25 peratus.
"Ini menjadikan barangan buatan tempatan tidak lagi kompetitif di pasaran tersebut, memaksa syarikat Malaysia mencari pasaran alternatif.
Shamsul Anaz berkata laluan perdagangan melalui BRICS boleh menyumbang kepada kestabilan fiskal negara.
“Dengan sekatan tarif seperti ini, produk kita seperti ubat-ubatan dan komponen elektronik sukar diterima di Amerika Syarikat. Negara BRICS boleh menjadi destinasi baharu untuk eksport Malaysia,” tambahnya.
Shamshul Anaz berkata, setakat ini beberapa syarikat Malaysia seperti anak syarikat Petronas mula menjalankan kerjasama dengan syarikat di Brazil.
Namun, katanya perincian lanjut mengenai pelaksanaan penggunaan mata wang tempatan dan struktur cukai bersama masih dalam peringkat rundingan.
Mengulas mengenai persepsi masyarakat terhadap lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil, Shamshul Anaz mengakui wujud pandangan yang pelbagai.
“Ada yang menyokong, ada yang skeptikal. Sebahagian masyarakat mungkin belum faham sepenuhnya tujuan dan potensi jangka panjang BRICS kerana mereka belum nampak hasilnya secara langsung.
"Persepsi ini perlu ditangani dengan fakta dan penerangan berterusan,” katanya.
Anwar bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva ketika menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17 di Rio de Janeiro pada 5 Julai 2025.
Tambahnya, jika Malaysia berjaya menggunakan laluan perdagangan melalui BRICS secara efektif, hasilnya boleh menyumbang kepada kestabilan fiskal negara dan membantu menangani inflasi serta kenaikan kos sara hidup.
Katanya, ia juga dijangka memberi impak dalam penyediaan Belanjawan 2026 yang akan datang.
“Objektif utama kerjasama BRICS adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada USD dalam perdagangan global.
"Jika ini berjaya dilaksanakan, Malaysia akan dapat mengawal kadar pertukaran dengan lebih baik, mengurangkan kesan inflasi import, dan menjadikan produk tempatan lebih mampu milik,” ujarnya.
Shamshul Anaz menegaskan bahawa dalam suasana ekonomi global mencabar, adalah penting untuk kerajaan meneroka alternatif yang mampu memberi kelebihan jangka panjang kepada negara.
“Lawatan rasmi ke negara-negara BRICS seperti Brazil perlu dilihat sebagai pelaburan masa depan.
"Kita mungkin belum nampak hasilnya hari ini, tapi dalam masa tiga hingga enam bulan, jika ada perjanjian pelaburan dan perdagangan yang dimeterai, kita akan mula melihat kesannya dalam ekonomi domestik,” ujarnya.
Muhamad Fahmi Mustafa berkata hubungan baik negara dengan kuasa-kuasa besar adalah pendekatan neutral yang bijak.
Sementara itu, pakar kewangan, Muhamad Fahmi Mustafa berkata langkah Malaysia menjalin kerjasama dengan negara-negara BRICS dan pada masa yang sama masih menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat adalah demi kepentingan strategik dan kelangsungan ekonomi negara.
Ketua Perbankan Islam Sunline Technology itu berpandangan, Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk memihak secara mutlak kepada mana-mana kuasa besar memandangkan negara ini amat bergantung kepada kedua-duanya, terutamanya dari sudut ekonomi dan perdagangan.
“Malaysia ialah negara yang bergantung kepada kuasa besar dunia. Justeru, pendekatan neutral adalah langkah paling bijak buat masa ini.
"Sebab itulah kita tetap hadir ke sidang BRICS di Brazil, walaupun Malaysia belum menjadi anggota rasmi,” jelasnya.
Beliau berkata Malaysia menyambut baik lawatan wakil-wakil tinggi dari kedua-dua negara, termasuk lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ke Amerika Syarikat serta kunjungan balas Setiausaha Negara Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Ramai netizen kata tak perlu lagi eksport ke Amerika Syarikat, tapi ini bukan semudah itu. Mereka merupakan pasaran pengguna terbesar, dan Malaysia adalah antara pembekal utama dalam rantaian bekalan mereka.
“China seperti dunia dalam dunia. Mereka boleh hidup dengan pasaran sendiri. Kita tidak boleh bandingkan kemampuan Malaysia dengan China,” katanya.
Tambahnya, gesaan agar Malaysia menamatkan hubungan dagang dengan salah satu kuasa besar adalah tidak rasional dan berisiko tinggi, memandangkan kedudukan strategik Malaysia sebagai negara kecil yang terbuka kepada pasaran antarabangsa.