suria

Anak mangsa tragedi Sungai Korok dapat Pencen Penakat Perkeso lebih RM500 sebulan

Perkeso sentiasa komited membantu waris mangsa pencarum.

ANAK sulung mangsa tragedi Sungai Korok di Kedah, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ia berikutan Allahyarham bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak merupakan pencarum yang aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), dengan rekod pekerjaan terakhir sebagai pengawal keselamatan.

Perkeso menerusi satu kenyataan berkata, Putri Qisya Nur Izzat layak menerima faedah pengurusan mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.

Selain itu, Pencen Penakat bulanan berjumlah RM576.25 akan diterimanya sehingga berusia 21 tahun atau hingga tamat ijazah pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan 6 beranak terjawab… Orang ramai kecoh jumpa kereta di dasar Sungai Korok

“Perkeso menzahirkan rasa simpati dan dukacita yang mendalam atas kejadian menyayat hati ini dan kekal komited untuk memastikan kebajikan waris mangsa terus terpelihara.

“Justeru, bantuan tambahan termasuk intervensi pendidikan, penjagaan emosi dan psikososial sedang diperinci menerusi Program Sinergi Sosial.

"Ia bagi memastikan anak sulung arwah mendapat sokongan jangka panjang yang sewajarnya,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyatakan semakan caruman mangsa nahas Sungai Korok akan segera dilaksanakan supaya bantuan yang berhak kepada waris dapat disalurkan.

Untuk rekod, arwah bapa, ibu dan empat orang adik kepada Putri Qisya Nur Izzat yang berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun, ditemukan lemas dalam sebuah kereta di Sungai Korok pada 7 Julai.

Penemuan itu sejajar dengan laporan polis yang dibuat Nur Adliah Shuhada apabila mendapati abangnya tidak dapat dihubungi selepas pulang bermalam di rumahnya di Taman Aman pada 4 Julai.

Mereka sekeluarga itu menetap di Jerlun.

Artikel Lain