TIGA buah banglo di perumahan elit diserbu selepas dikesan menyimpan 41,000 kilogram (kg) barang kawalan baja, bernilai RM6,789.05.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, pihaknya merampas kesemua baja berkenaan yang dibungkus semula tanpa kebenaran.
Ujar beliau, serbuan tersebut merupakan hasil risikan dan aduan orang awam berkaitan bau busuk baja yang menganggu keselesaan masyarakat setempat.
“Risikan dijalankan selama seminggu dan kita mendapati kegiatan membungkus baja dijalankan di premis ini tanpa kebenaran pihak pengawal serta tidak ditentusahkan.
“Baja-baja tersebut dibungkus semula dalam pek kecil dan dijual di TikTok dengan keuntungan boleh mencecah RM400,000 sebulan,” katanya.
Menurut Mohd Hazimin lagi, aktiviti itu dipercayai dilakukan sejak tahun lalu dan premis mewah berkenaan disewa pada kadar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan untuk penjimatan kos berbanding pengoperasian di kilang.
“Mereka juga menyewa premis di kawasan elit ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain kawalan ketat keselamatan untuk masuk ke kawasan perumahan.
“Hasil semakan, perniagaan yang didaftarkan pada lesen perniagaan bukan di kawasan ini sebaliknya di luar Melaka,” tambah beliau.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.