suria

Pempengaruh dikhuatiri lemas, kereta terbabas dalam sungai

Perodua Axia ditemui terbabas di Sungai Kampung Tui dekat Pagoh, Johor. Gambar kecil Tengku Nizaruddin.

PEMPENGARUH  permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dikhuatiri lemas selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya terbabas ke dalam Sungai Kampung Tui di Jalan Bukit Kepong, berhampiran Jambatan Kampung Kecil, Pagoh di Johor pada Isnin.

Tengku Nizaruddin, 38, atau lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin dilaporkan keluar dari kediaman di Jalan Setia Indah, Johor Bahru sekitar 12 tengah hari dengan memaklumkan bahawa dia ingin ke bengkel rakannya di Parit Jawa.

Keluarganya sempat berhubung sehingga pukul 4 petang, sebelum mangsa gagal dihubungi selepas itu.

Bimbang dengan situasi itu, keluarga mangsa cuba mengesan lokasi terakhir menerusi sistem GPS dan mendapati kedudukan terakhirnya berada di kawasan Jalan Bukit Kepong-Labis.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.22 petang Selasa.

“Sebanyak tujuh anggota dari BBP Pagoh dan BBP Muar digerakkan ke lokasi bersama satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu kenderaan pacuan empat roda.

“Maklumat awal daripada pihak polis menyatakan kemalangan mungkin berlaku pada Isnin dan terdapat mangsa iaitu lelaki hilang dipercayai pemandu kereta,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan setakat ini.

Artikel Lain