suria

“Saya tahu nama mereka” - Ibu pelajar perempuan maut disyaki dibuli tak maafkan pelaku

Imej yang dimuat naik seorang wanita, dipercayai ibu kepada pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia didakwa akibat dibuli. -Foto TikTok

TERLALU berat menerima hakikat anak kesayangan pergi secara mengejut, seorang wanita tampil membuat luahan khas kepada individu yang didakwa membuli mangsa.

Menerusi satu perkongsian video di TikTok, wanita berkenaan menegaskan dia tidak akan memaafkan individu yang menjadi penyebab kematian anak perempuannya itu.

Bersama hantaran berkenaan, wanita tersebut turut memuat naik sekeping gambar memaparkan anaknya yang kritikal dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital, sebelum disahkan meninggal dunia pada Khamis malam.  

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut dibelasah: Keluarga masih terkejut, mohon diberi ruang

"Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini.

"Ingat, selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya juga tidak akan memaafkan kamu. Saya tahu nama-nama mereka yang selalu si Zara sebut," tulisnya.

Gambar mangsa yang dimuat naik oleh wanita dipercayai ibunya di TikTok.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar, Zara Qairina, 13, dari Sipitang, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di bawah blok asrama sekolahnya kira-kira pukul 3 pagi Rabu.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di SMA Tun Datu Mustafa, Papar, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu namun disahkan meninggal dunia pada Khamis malam.

Tangkap layar wanita dipercayai ibu mangsa kemudian tular di media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi berkaitan unsur buli yang didakwa berlaku terhadap pelajar berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun yang dipetik Sinar Harian, mengesahkan bahawa seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kenyataan media penuh berhubung siasatan insiden tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dalam catatan Facebook mengesahkan kes itu dalam siasatan polis dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

"Kementerian memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Tolong hormati privasi keluarga dan benarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan," katanya.

Artikel Lain