PERKONGSIAN sebuah video memaparkan aksi dua kanak-kanak yang bertempiaran lari dipercayai selepas kantoi mencuri buah durian di sebuah gerai mencuri perhatian warga maya.
Menerusi video berdurasi 35 saat yang dikongsikan di laman TikTok, kelihatan seorang lelaki berjaya menangkap salah seorang daripada kanak-kanak terbabit.
Sementara itu seorang lagi kanak-kanak sempat melarikan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Gelap mata nampak duit banyak, remaja curi elaun kawan dalam bank... Kini hidup jadi kucar-kacir, sukar dapat kerja
Bagaimanapun individu yang memuat naik video berkenaan tidak menyatakan lokasi kejadian serta tidak menceritakan lebih lanjut mengenai tindakan susulan terhadap kanak-kanak yang berjaya 'dicekup' itu.
Perkongsian yang sehingga kini meraih lebih 111,000 jumlah tontonan itu dibanjiri dengan komen netizen yang memberikan reaksi bercampur baur.
Ada yang menyokong tindakan lelaki berkenaan menangkap kanak-kanak tersebut agar dapat memberikan pengajaran di atas perbuatannya.
Namun ramai beranggapan agar lelaki tersebut memberikan pendekatan lebih berhemah dengan menegur kanak-kanak terbabit selain tidak perlu terlalu berkira untuk 'menghalalkan' sebiji durian.
"Niat tak menghalalkan cara... kecil-kecil dah pandai mencuri lepas ni dah menjadi kebiasaan.
"Sebiji durian tu bukanlah rugi berjuta-juta pun. Sedekah sajalah.
"Kesiannya... apalah salahnya kasi je anak-anak tu makan," demikian antara komen netizen.