USAHAWAN makanan, Dania Sedek meluahkan rasa kecewa selepas segelintir individu menyeru gerakan boikot ke atas perniagaannya.
Ia susulan tindakan peniaga itu yang menjual hidangan nasi khaomok pada harga RM35 ketika program jelajah jualan di beberapa negeri.
Menurut Dania, dia juga sedih apabila pelanggannya diberi gelaran 'pentaksub' gara-gara kerelaan hati mereka membeli hidangan pada harga tersebut.
"Walaupun ada yang nak boikot, tapi kalau Allah kata tidak, maka ia tidak akan berlaku. Allah tak kejam, Allah tak akan makbulkan doa orang yang busuk hati.
"Sejujurnya, saya sedih dan kecewa apabila pelanggan diberi gelaran pentaksub. Tapi saya percaya, pelanggan pandai menilai.
"Mereka memberi sokongan kerana percaya kualiti makanan kami. Mereka juga tahu perjalanan saya membina perniagaan selama lima tahun," ujarnya kepada mStar.
Segelintir netizen menyeru gerakan boikot kerana tidak berpuas hati dengan harga makanan yang dijual oleh Dania.
Menurut pengusaha Niase Street Food itu, harga asal nasi khaomok di kedainya di Ipoh, Perak adalah RM25 tak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Namun, harga itu dinaikkan kepada RM35 tidak termasuk SST bagi jualan-jualan di program jelajah negeri luar Perak.
Setakat ini, Dania sudah melakukan jelajah jualan ke Selangor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Menurut Dania lagi, dia menganggap tindakan netizen membandingkan harga nasi khaomok jualannya dengan peniaga lain adalah tidak wajar.
ARTIKEL BERKAITAN: Jualan Ramadan cecah RM1 juta, usahawan makanan ada sebab enggan beli baju raya - “Tak boleh belanja sesuka hati”
"Saya faham ada yang rasa ia mahal dan tak berbaloi. Tapi satu benda saya nak ingatkan, setiap peniaga berdepan kos berbeza walaupun nampak ia makanan yang sama.
"Ada peniaga yang jual nasi khaomok RM15, tapi mungkin dia langsung tak bayar cukai. Nilai cukai yang saya bayar pula berbeza.
"Mungkin yang jual harga murah ini berniaga dari rumah, tiada pekerja. Saya pula ada 80 orang kakitangan. Bahan-bahan yang saya gunakan juga berbeza," jelasnya lagi.
Sebelum ini, tular hantaran di Thread yang mahu memboikot perniagaan milik Dania kerana didakwa meletakkan harga tidak masuk akal.