suria

Rumah dipenuhi asap, rupanya pengurus projek bakar wang tunai hampir RM1 juta dalam bilik mandi

Barangan kemas, jam tangan termasuk wang tunai hampir RM1 juta yang dibakar dirampas SPRM. -Foto SPRM

SEORANG pengurus projek sebuah syarikat pembinaan terkemuka bertindak di luar jangkaan apabila sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas rumahnya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu susulan siasatan kes rasuah melibatkan tender projek pembinaan sebuah pusat data.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika pasukan pegawai SPRM menjalankan serbuan di kediaman suspek di Petaling Jaya pada Khamis.

"Semasa memasuki rumah, pegawai mendapati suasana dalam rumah dipenuhi asap tebal yang berpunca dari bilik mandi.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik mandi, pasukan menemui wang kertas RM100 yang berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar,” kata sumber berkenaan.

Suspek bertindak nekad membakar beberapa bungkusan wang tunai sebaik sahaja menyedari kehadiran pegawai SPRM di kediamannya dalam usaha untuk melupuskan bukti.

Pemeriksaan lanjut di rumah suspek turut menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan dalam beberapa kotak bantal, selain tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex, Omega dan Cartier serta pelbagai barangan kemas seperti cincin dan syiling emas. 

Katanya, semua barangan berkenaan disita SPRM bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan kejadian tersebut dan menegaskan bahawa tindakan melupuskan bahan bukti adalah satu kesalahan serius.

“Tindakan membakar wang ini boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa fokus utama siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan menerima dan memberi rasuah.

Artikel Lain