suria

Remaja mengaku tanam bayi baru lahir hasil hubungan terlarang dengan kakak tiri

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi. -Gambar hiasan

PENDUDUK di Kampung Melayu Desa Kayangan dekat Brinchang, Cameron Highlands digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang ditanam berhampiran tangki air, pada pagi Khamis.

Menerusi kenyataan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli, pihaknya menerima laporan daripada penduduk mengenai penemuan berkenaan pada pukul 10.00 pagi.

"Polis menerima laporan daripada orang awam berkenaan penemuan kesan tanah yang telah dikorek berdekatan tangki air miliknya dan telah menjumpai satu bungkusan kain putih mengandungi mayat bayi lelaki. 

"Kira-kira pukul 5.30 petang, pihak polis telah menahan seorang remaja berusia 19 tahun dan merampas peralatan seperti cangkul dan penyodok yang digunakan untuk mengorek tanah bertujuan menanam bayi," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bomba tarik keluar janin dari lubang tandas, mak ayah pelaku dipercayai bersubahat

Menurut Azri, hasil siasatan lanjut mendapati suspek melakukan hubungan seks dengan kakak tirinya sehingga berlakunya kehamilan.

"Suspek juga mengaku membawa bayi yang dilahirkan oleh kakak tirinya ke atas bukit dan menanam bersama uri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi," ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat yang boleh mengganggu siasatan polis. 

Artikel Lain