SEBUAH kereta yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbabas ke dalam longkang di Jalan Telok Gong, dekat Klang, dalam kejadian pada pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, kejadian pada pukul 10.00 pagi itu didapati tular di media sosial selepas kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu terbabit ditemui dalam keadaan terbalik di dalam longkang.
"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah mengesan kenderaan bersama pemiliknya dan tiga kanak-kanak yang dipercayai berada dalam kenderaan itu semasa kejadian.
"Kanak-kanak terbabit terdiri daripada dua beradik yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) serta seorang sepupu mereka yang merupakan warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak 6 tahun pandu kereta, siap bawa adik 3 tahun sebelum terbabas
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu pada mulanya dipandu oleh ibu kepada dua beradik berkenaan dari Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara Klang menuju ke rumah kakaknya di Telok Gong.
"Setelah tiba di rumah kakak, si ibu telah meninggalkan anak-anak seketika untuk ke tandas.
"Peluang itu digunakan oleh anak lelakinya berusia 11 tahun yang bertindak mengambil kunci kereta dan mengajak adiknya berumur tujuh tahun serta sepupu mereka keluar ke kedai," katanya.
Tambah Ramli, kereta tersebut dipercayai dipandu kanak-kanak berkenaan sejauh dua kilometer sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.
"Tiada kecederaan dilaporkan dialami ketiga-tiga kanak-kanakm manakala kenderaan mengalami kerosakan kecil pada bahagian bawah bonet hadapan sebelah kanan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan Seksyen 39(1) akta sama bag kesalahan memandu tana lesen.
"Selain itu siasatan juga dijalankan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti sebarang unsur pengabaian terhadap kanak-kanak terbabit," katanya.
Justeru Ramli turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar lebih peka serta memantau pergerakan anak-anak dan tidak membiarkan mereka memandu atau menunggang sebarang kenderaan yang boleh mengundang risiko keselamatan.