SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun lemas di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana di Melaka pada Ahad.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 9.45 pagi.
Susulan itu, tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati mangsa telah dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba segera memberikan bantuan pernafasan (CPR),” katanya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans untuk tindakan lanjut.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu di Thread seorang wanita yang dikenali sebagai Fatin Aainna memaklumkan dia berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku.
Katanya, selepas 15 minit mereka sekeluarga mandi berlaku kejadian lemas berkenaan dan dia kemudian bertindak menghubungi ambulans.
“Tolong jangan salahkan ibu bapa. Bila Allah nak uji, benda boleh jadi di mana-mana dan bila-bila masa,” katanya.
Wanita itu juga turut berkongsi video suasana ketika kejadian [Tonton Video].