IBU kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf menafikan pernah terserempak dengan jirannya yang juga saksi ke-16 di tangga Blok R, Apartment Idaman pada hari kehilangan anak autistiknya dua tahun lalu.
Sebaliknya wanita berusia 30 tahun itu menyatakan pada 5 Disember 2023, dia hanya sempat membuka pintu rumah sebelum meletakkan beg sekolah Zayn Rayyan bersama dua beg barangan yang dibelinya dari sebuah pasar raya selepas menyedari anaknya hilang.
Ismanira berkata demikian di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu ketika perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.
Tambah wanita berkenaan lagi, selepas itu dia membiarkan pintu rumah terbuka dan menuruni anak tangga untuk meneruskan pencarian Zayn Rayyan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira dakwa polis reka cerita bunuh anak sendiri, seumur hidup tak pernah abai Zayn Rayyan
ARTIKEL BERKAITAN: Tak dengar bunyi tapak kasut... Ibu syak Zayn Rayyan dicekup, dilarikan
Namun, dia tidak bertemu dengan sesiapa termasuk saksi ke-16 dikenali sebagai Rashidah yang mendakwa terserempak dengannya.
Ismanira memaklumkan bahawa dia ada meminta pertolongan daripada orang ramai ketika berhenti di hadapan Blok A, berdekatan gerai-gerai perniagaan.
Dia turut berhenti di setiap kedai yang terletak di hadapan Apartmen Idaman, meninggalkan nombor telefon, dan masuk mencari di setiap premis.
Dakwanya, keadaan pada waktu itu agak lengang memandangkan hari bekerja dan tidak ramai penghuni berada di blok berkenaan, kecuali di bahagian kedai dan gerai.
Oleh itu, dia tidak berselisih dengan sesiapa ketika berada di kawasan tersebut.
Dalam masa yang sama, Ismanira turut menafikan dakwaan bahawa dia telah menukar pakaian sambil membawa beg sekolah Zayn Rayyan semasa menuruni tangga, seperti yang dinyatakan oleh Rashidah.
Pada Februari lalu, saksi pendakwaan ke-16, Rashidah Rajali, 37, dalam keterangannya memaklumkan bahawa dia telah berselisih dengan Ismanira sebanyak dua kali di Blok R.
Rashidah, yang tinggal di tingkat dua dan merupakan jiran keluarga mangsa, menyatakan bahawa kali pertama dia berjumpa dengan Ismanira adalah pada pukul 12.15 tengah hari, dan kali kedua pada pukul 12.35 tengah hari.
Dia mendakwa melihat wajah Ismanira namun tidak bercakap dengannya, serta melihat wanita itu memakai beg silang.
Menurut Rashidah, pakaian yang dipakai oleh Ismanira ketika pertemuan pertama berbeza dengan pakaian semasa pertemuan kedua, yang berlaku 20 minit kemudian.