TANGGAL 15 September diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Mengumumkan perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hari kelepasan berkenaan adalah bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.
"Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, pada Rabu.
Untuk rekod, Hari Malaysia diraikan pada tanggal 16 September setiap tahun dan pada tahun ini, ia jatuh pada hari Selasa.
Ini bermakna rakyat Malaysia berpeluang menikmati cuti panjang hujung minggu selama empat hari bermula Sabtu.