SEMPENA Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada pagi Rabu.
"Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," ujarnya.
Bantuan tersebut boleh dibelanjakan bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara, mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember tahun ini.
"Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion. Ini bermakna, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa," ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun, khususnya jika ada rakyat yang tidak memerlukan, akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan.