RAKYAT dijangka menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah iaitu pada kadar RM1.99 seliter, apabila penyasaran subsidi bahan api itu dilaksanakan kelak.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan komited dengan perancangan menyasarkan subsidi RON95 dengan perincian mengenainya akan diumumkan menjelang akhir September depan.
"Ini tentunya beri manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig," ujarnya semasa menyampaikan Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, pada Rabu.
Tambahnya, pendekatan bersasar tersebut sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya, sekali gus membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Ujar Anwar, ia antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).
Susulan keputusan berkenaan, Anwar berkata kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta.