SEORANG lelaki dihukuman penjara lima tahun manakala isterinya didenda RM18,000 selepas didapati bersalah mendera anak perempuan mereka menggunakan kulit durian.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Bunyamin Sukiman, 42, iaitu bapa tiri kepada mangsa, manakala isterinya, Yorlini Abdullah Umar, 32, berdepan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Hukuman penjara terhadap Bunyamin berkuat kuasa bermula pada 18 Julai, iaitu tarikh dia ditangkap.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh turut mengarahkan kedua-duanya menandatangani bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 12 bulan.
Pasangan suami isteri itu mengaku telah mencederakan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di kediaman mereka di Jalan Ampang pada pukul 6 petang, 16 Julai lalu.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian disedari apabila mangsa memaklumkan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah bahawa dia telah dipukul, telinganya dipulas oleh ibu dan ditumbuk bapa tiri.
Dalam sesi soal siasat, mangsa mendedahkan tangannya pernah diletakkan di lantai sebelum dihentak dengan kulit durian.
Luka di tangan tersebut kemudian direndam dalam air garam suam, selain tangannya turut diikat dengan pita pelekat dan dibiarkan sehingga keesokan harinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan mangsa merupakan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi, bukan disakiti.
“Tindakan menggunakan kulit durian dan menghentaknya ke tangan mangsa, serta merendamnya ke dalam air garam adalah perlakuan ekstrem dan kejam.
"Ibu bapa seharusnya menjadi pelindung, bukan tempat melepaskan amarah. Hukuman berat perlu agar jadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.
Peguam Simret Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman diringankan atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada Bunyamin yang bekerja sebagai penasihat jualan kereta dan menjadi penyumbang nafkah tunggal keluarga.
Menurut peguam, pasangan itu mempunyai dua anak termasuk mangsa, dan telah memberi kerjasama penuh sepanjang tempoh tahanan reman.