SEORANG remaja lelaki meraih perhatian ramai selepas mengaku mula mengambil pil kuda pada usia yang sangat muda.
Video temubual [Tonton Video] remaja itu dikongsi menerusi akaun TikTok Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu.
Ketika ditanya oleh seorang pegawai, penghuni Puspen berusia belasan tahun itu berkata dia tidak bersekolah dan sudah bekerja.
"Saya ada enam beradik. Saya nombor tiga. Saya tak sekolah, berhenti.
"(Lepas hisap) rasa rajin (bersemangat). Saya kerja panjat pokok kelapa," ujarnya dalam dielek Kelantan ketika disoal.
Selain dia, remaja itu berkata abang sulungnya yang berusia 19 tahun turut menghisap pil kuda.
- Remaja mengaku ambil pil kuda sejak usia muda.
- Berhenti sekolah dan kerja panjat pokok kelapa.
- Abang sulungnya juga penagih.
- Menangis di Puspen rindu adik.
- Netizen simpati dan doakan dia berubah.
Dia turut bercerita teknik serta bahan yang digunakan untuk menghisap pil kuda.
Dalam temubual sama, remaja itu mengaku dia menangis ketika pertama kali masuk ke Puspen kerana teringatkan adiknya yang masih kecil di rumah.
"Saya janji saya tokse (tak nak) hisap doh pil kuda. Saya nak duduk sini molek-molek," luah remaja itu.
Di ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa simpati dan berharap remaja itu dapat mengubah masa depannya.
"Tengok ni wahai pengedar. Kau merosakkan anak bangsa sendiri. Allahuakhbar, hancurnya hati aku tengok semua ni.
"Waktu Subuh acik menangis tengok video ni dik. Dengan air mata, acik doakan awak benar-benar pulih daripada ketagihan dadah.
"Allah, muda sangat ni dik. Harap dia betul berubah apabila bebas nanti.
"Ya Allah, sedihnya dengar suara awak tu dik," tulis netizen.