suria

Padah buat laporan palsu kereta terjunam dalam sungai... Pempengaruh permotoran, adik didakwa di mahkamah hari ini

Pempengaruh itu dan adiknya akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar.

PEMPENGARUH permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar, Johor atas dua pertuduhan pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, dua beradik itu akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan.

"Kes ini berkaitan sebuah kenderaan yang dijumpai terjunam ke dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, yang akhirnya disahkan sebagai kes laporan palsu," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh tak lemas, tapi larikan diri ke negara jiran… Adik subahat reka cerita

Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh itu dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia dipandunya ditemukan terbabas ke dalam sungai.

Bagaimanapun, siasatan lanjut dan keterangan daripada adik lelakinya membongkar cerita sebenar yang mana pempengaruh dikenali sebagai Ija itu berada di Thailand.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudiannya membuat laporan polis ke atas dua lelaki itu.

Sepanjang 'kehilangan' pempengaruh itu, bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama empat hari.

 

Artikel Lain