IBU Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf menegaskan mesej berbunyi 'lantaklah nak hidup ke nak mati' yang dihantar kepada suaminya pada hari kehilangan Zayn Rayyan, dua tahun lalu tidak bermaksud ditujukan kepada anak mereka.
Sebaliknya, saksi pembelaan pertama kes pengabaian kanak-kanak autisme itu menjelaskan, kandungan mesej berkenaan hanya ditujukan kepada diri sendiri yang ketika itu sedang cemas apabila Zayn Rayyan hilang pada 5 Disember 2023.
Wanita itu menjelaskan pada hari kejadian dia berada dalam keadaan cemas, kelam kabut dan sedih kerana mencari anaknya yang hilang.
Ismanira, 30 memaklumkan dia sangat memerlukan perhatian suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dan mesej berkenaan bertujuan mengharapkan lelaki itu segera pulang.
Dia berkata demikian di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Khamis ketika perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira nafi tukar baju, tak mengaku terserempak dengan jiran pada hari Zayn Rayyan hilang
ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira dakwa polis reka cerita bunuh anak sendiri, seumur hidup tak pernah abai Zayn Rayyan
Terdahulu, peguam mewakilinya, Haresh Mahadevan mengemukakan soalan tambahan dengan meminta Ismanira menjelaskan kandungan laporan di #8 yang berbunyi, 'lantaklah nak hidup ke nak mati'.
Pada 7 April lalu, Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan, 43, yang juga juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer memberitahu Mahkamah Sesyen, mesej berbunyi 'lantaklah nak hidup ke nak mati' antara kandungan WhatsApp yang diekstrak daripada salah satu telefon bimbit yang dirampas.
Perbualan WhatsApp itu diekstrak daripada dua nombor telefon milik dua individu sebelum dan hari kehilangan kanak-kanak autisme itu pada 5 Disember 2023.
Hasil analisis juga mendapati, salah satu telefon jenama iPhone menggunakan iCloud atas nama Ismanira manakala telefon Huawei menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan.
Mohd Zaidi memaklumkan perkara itu semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi dalam prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan, 6, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Bagaimanapun menerusi prosiding pada 21 Julai, Zaim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen dan hanya isterinya diperintah membela diri.