MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan kerajaan dan tiga pihak lain membayar RM1.1 juta kepada keluarga model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, kerana gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kematian mendiang, lapan tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, yang mana mahkamah mendapati terdapat kecuaian oleh pihak polis dalam mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya, pada tahun 2017.
"Kes ini mencerminkan kegagalan besar sistem penguatkuasaan undang-undang Malaysia," katanya pada Selasa.
Dalam penghakimannya, Roz Mawar menekankan klasifikasi pramatang, kesilapan pengurusan tempat kejadian jenayah, kegagalan pemeliharaan bukti, pengendalian saksi dan suspek yang tidak mencukupi, pengabaian bukti asing, dan prosedur forensik.
ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan Warga Amerika, Isteri Akui Seks Bertiga Dengan Model Belanda
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga tawar AS$50,000 untuk maklumat kematian model
"Ini adalah bukti mudah dan jelas yang menyokong dapatan saya bahawa terdapat pelanggaran terhadap tanggungjawab penjagaan,” katanya.
Smit, 18, ditemukan mati di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Disember 2017, selepas terjatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Pada 20 November 2020, ibu Smit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen (plaintif), memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Pegawai Penyiasat Dang Wangi Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan atas dakwaan salah mengendalikan siasatan kematian Smit.
Roz Mawar menyatakan bahawa terdapat bukti DNA milik Johnson ditemui pada kuku Smit, berdasarkan laporan DNA bertarikh 8 Februari 2018.
"Walaupun terdapat bukti penting ini, Johnson dan Almazkyzy dibenarkan meninggalkan Malaysia pada 29 Mac 2018, kira-kira sebulan selepas laporan tersebut dikeluarkan," katanya.
Roz Mawar berkata plaintif adalah 'mangsa langsung' yang mengalami trauma emosi dan psikologi yang berpanjangan akibat kecuaian para defendan.
Mahkamah telah mendapati empat pihak bertanggungjawab dalam kes ini, masing-masing dengan peranan dan tahap kesalahan yang berbeza.
Defendan pertama, iaitu Ketua Polis Negara, dipertanggungjawabkan atas tindakan cuai seorang pegawai bawahannya kerana kesalahan itu berlaku semasa pegawai tersebut menjalankan tugas rasmi.
Defendan kedua, iaitu pegawai polis bernama Faizal, didapati telah cuai dan melanggar tanggungjawabnya dalam pelbagai aspek.
Defendan ketiga, Menteri Dalam Negeri, dipertanggungjawabkan kerana berlaku kelemahan dalam pengurusan dan pentadbiran.
Defendan keempat, iaitu Kerajaan Malaysia, turut bertanggungjawab kerana pegawai-pegawai yang terlibat adalah kakitangan kerajaan yang dibayar gaji oleh kerajaan. -The Star