DIKEMASKINI
SEORANG lelaki berusia 36 tahun yang sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun hilang di Johor, kini direman selama tujuh hari selepas kanak-kanak itu ditemui mati di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek ditahan pada 24 Julai dan direman sehingga Khamis, bagi membantu siasatan.
"Suspek telah membuat laporan kira-kira pukul 2.15 pagi pada 24 Julai, mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan bersendirian di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan Bukit Indah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ACP Kumarasan, lelaki itu mendakwa meninggalkan anaknya di dalam kereta sekitar pukul 6 petang pada 23 Julai untuk membeli makanan, namun apabila kembali semula, kanak-kanak itu telah tiada.
Susulan laporan itu, siasatan awal dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak.
Namun, siasatan lanjut membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak di kawasan Rompin, kira-kira 200 kilometer (km) dari lokasi asal laporan dibuat.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil soal siasat, kami percaya mayat yang ditemukan itu adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang," jelas ACP Kumarasan.
Kes kini dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.
Polis sebelum ini memohon bantuan orang awam untuk mengesan kanak-kanak terbabit, dikenali sebagai M Tishant yang dilaporkan hilang ketika berada di sebuah kopitiam di Taman Bukit Indah.
Pihak polis turut mengesahkan bahawa suspek sedang disiasat atas tuduhan membuat laporan palsu, di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan terbaru, polis telah merampas cangkul yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk mengebumikan mangsa.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata, mangsa dikebumikan berhampiran landasan kereta api dan jauh dari kawasan perumahan di Jalan Bahau-Rompin.