suria

Ibu arwah Zara Qairina tak pernah kaitkan kematian anak dengan mana-mana VVIP

Noraidah Lamat (kanan) bersama potret Allahyarham Zara Qairina.

PEGUAM yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menafikan ibu kepada pelajar tersebut membuat pelbagai tuduhan termasuk mengaitkan kematian anaknya itu dengan mana-mana individu berprofil tinggi.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menerusi satu kenyataan media berkata, anak guam mereka, Noraidah Lamat, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu.

"Puan Noraidah, iaitu ibu kepada Zara Qairina tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau VVIP.

"Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami.

"Anak guam kami juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan 'kau pembunuh' oleh pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.

"Perkara ini hanya diketahui anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media social," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada ‘plot twist’ kaitkan ibu dengan kematian Zara Qairina... Arwah pernah mengadu diugut Kak M, nak ‘touch’ sampai berdarah

Kenyataan tersebut juga menambah, anak guam mereka tidak mengeluarkan kenyataan mengenai adanya tiga pelajar sekolah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada hari kematian Zara. 

Ujarnya lagi, maklumat tersebut jua hanya diketahuinya selepas ia tular di media sosial.

"Kami menyeru orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara, anak guam kami dan individu-individu lain.

"Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak," menurutnya. 

Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, meninggal dunia pada 17 Julai, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.

Kisah kematian pelajar tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan gerakan #JusticeForZara selepas timbul dakwaan mangsa maut akibat dibuli.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun pada Khamis memaklumkan, seramai 60 individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian pelajar tersebut. 

Dalam perkembangan terbaru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis telah melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar tersebut dan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selewat-lewatnya minggu hadapan.

Artikel Lain