TIGA lelaki dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama polis, dipercayai terlibat dalam hubungan sejenis dan seks berkumpulan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 21, 24 dan 26 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari, Khamis.
Ia susulan aduan diterima JAIM yang disertakan bukti bergambar dan rakaman video yang menunjukkan perlakuan mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis serbu pesta gay di Kelantan... Ratusan kondom dan ubat HIV dirampas, 20 ditahan
"Kesemua telefon bimbit milik suspek telah disita bagi membantu siasatan dan dijadikan barang kes," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Rahmad, perbuatan berkenaan jelas melanggar ajaran Islam dan mencerminkan gaya hidup songsang yang dipengaruhi budaya luar.
"Budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah memberi kesan terhadap kesihatan awam, selari dengan data Jabatan Kesihatan Negeri Melaka yang menunjukkan peningkatan kes jangkitan penyakit bawaan hubungan seksual (STD) seperti HIV, AIDS, Chancroid, Gonorrhea dan Sifilis," ujarnya lagi.
Ketiga-tiga individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56 (liwat), Seksyen 57 (percubaan liwat) dan Seksyen 58 (hubungan jenis luar tabii) di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.