PROSES bedah siasat ke atas Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, dimulakan selepas ketibaan pakar patologi forensik dari Semenanjung Malaysia.
Peguam Hamid Ismail berkata, dia bersama anak guamnya ibu kepada Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat, 45, juga sudah menerima taklimat selama setengah jam mengenai proses bedah siasat.
“Proses dimulakan selepas selesai pengecaman jenazah dan ketika ini pakar forensik, Dr Khairul Anuar Zainun, sudah pun tiba,” katanya.
Hamid berkata bedah siasat itu akan dijalankan oleh Dr Khairul dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bersama tiga lagi doktor lain.
“Saya percaya pihak polis mahu memastikan semua aspek keadilan untuk Zara.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Allahuakbar! Jasad Zara Qairina masih utuh walau selepas 23 hari dikebumikan
"Sebab itu pakar dari Semenanjung Malaysia dibawa khas bagi mengelakkan sebarang tuduhan tidak berasas serta memastikan proses ini mengikut piawaian tertinggi,” katanya lagi.
Tambahnya, Shahlan Jufri yang mewakili pasukan peguam juga akan berada di lokasi sepanjang prosedur yang dijangka mengambil masa antara empat hingga lima jam bergantung kepada penemuan.
Sebaik selesai, pihak doktor akan memberi taklimat kepada keluarga Zara Qairina mengenai keputusan bedah siasat sebelum polis membawa jenazah pulang ke Sipitang untuk dikebumikan semula.
Untuk rekod, Zara, 13, disahkan meninggal dunia di HQE I pada 17 Julai, sehari selepas dia dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Keluarganya percaya kematiannya mempunyai kaitan dengan kes buli.