PEGUAM keluarga Zara Qairina Mahathir menafikan video mengandungi jeritan meminta tolong yang sedang tular media media sosial adalah suara arwah.
Hamid Ismail berkata, dakwaan tersebut merupakan satu fitnah dan dia menggesa orang ramai berhenti menyebarkan kandungan berkenaan.
“Video seorang perempuan menjerit sedang tular di TikTok. Itu bukan Zara Qairina.
"Netizen diminta berhenti menyebarkan bahan berunsur fitnah, kita tidak mahu sesiapa dituduh tanpa bukti.
“Tolong beri sokongan kepada ibu Zara Qairina yang sedang mengalami tekanan emosi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pakar diterbangkan dari Semenanjung, bedah siasat Zara dijangka ambil masa 4 hingga 5 jam
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, pada Ahad.
Jenazah Zara Qairina, 13, berada di hospital itu selepas proses penggalian semula dijalankan pada Sabtu untuk tujuan bedah siasat.
Sementara itu, kehadiran orang ramai di luar hospital semakin bertambah sehingga dianggarkan mencecah 100 orang, kebanyakannya penduduk tempatan dan bukan ahli keluarga.
Ramai yang hadir untuk menunjukkan solidariti kepada keluarga Zara serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai hasil bedah siasat Allahyarham.
Untuk rekod, Allahyarham Zara disahkan meninggal dunia di HQE I pada 17 Julai, sehari selepas dia dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Keluarganya percaya kematiannya mempunyai kaitan dengan kes buli.