SIASATAN polis berhubung punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir kini diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Bagi melancarkannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menubuhkan satu pasukan petugas khas (task force) yang kini dihantar ke Kontinjen Sabah.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara berkata, pasukan itu terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam sahkan ada kesan cedera pada tubuh Zara Qairina
Katanya, penubuhan pasukan itu merupakan sebahagian komitmen PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.
“PDRM menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional dan mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Siasatan tersebut diambil alih pasukan petugas khas Bukit Aman selepas bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian arwah yang sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lepas.
Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia sehari selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan buli.
Pada Sabtu lalu, kubur Zara Qairina digali semula dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan dikebumikan semula pada awal pagi Isnin di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang.