TERDAPAT kesan kecederaan pada tubuh Allahyarham Zara Qairina Mahathir seperti yang tular di media sosial berdasarkan pemerhatiannya ketika proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Sabah pada Ahad.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili keluarga remaja berusia 13 tahun berkenaan, Shahlan Jufri yang berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan atau minum bagi memerhati keseluruhan prosedur dijalankan pasukan forensik.
"Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.
"Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan," katanya pada Ahad malam.
Sahlan turut menegaskan bahawa proses bedah siasat dijalankan secara telus tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
"Saya berpuas hati dengan proses tersebut kerana tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja berada di situ.
"Proses bedah siasat dijalankan secara telus, berintegriti tinggi dan berjalan lancar," tegasnya.
Untuk rekod, proses bedah siasat ke atas jasad Zara dibuat di HQE I selesai kira-kira pukul 7.30 malam Ahad dan dikebumikan semula pada pukul 1.15 pagi Isnin di Sipitang.
Allahyarham Zara disahkan meninggal dunia di hospital sama pada 17 Julai, sehari selepas dia dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya namun dikaitkan dengan kes buli sebagaimana didakwa keluarga mangsa. -The Star