SATU kemalangan hingga meragut nyawa empat individu termasuk dua kanak-kanak berlaku di Jalan Utama, Felda Chiku 1, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 9 pagi Isnin.
Selain itu seorang lagi mangsa cedera parah selepas kereta Honda EK yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.
Bagaimanapun, pemandu treler yang terlibat dengan kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, PBK II Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS sebelum bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer.
"Setiba di lokasi pada pukul 9.34 pagi, didapati lima mangsa tersepit dalam kereta.
"Seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia, manakala seorang wanita yang memandu kereta berkenaan berada dalam keadaan nazak," katanya dalam kenyataan.
Menurut Fakri, mangsa cedera dihantar ke hospital, manakala jenazah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan sembilan anggota BBP Gua Musang bersama sebuah jentera Tender Penyelamat Kebakaran, kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Kenderaan Respons Pertama jenis Mitsubishi Triton.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 39 saat yang tular di media sosial, kelihatan kereta Honda EK berkenaan tiba-tiba memasuki lorong kanan sebelum melanggar treler.