PERSELISIHAN faham menjadi punca seorang lelaki ditikam sehingga maut di hadapan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi, Seremban, Negeri Sembilan.
Dalam kejadian pada lewat petang Isnin itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi sekitar pukul 7.28 malam akibat kecederaan pada bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada pukul 6.50 petang, yang memaklumkan terdapat seorang lelaki telah ditikam.
“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 31 tahun dengan mangsa.
"Suspek dikatakan telah menikam dada mangsa menggunakan pisau sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, pengesahan kematian dibuat oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar yang tiba di lokasi.
Mohamad Hatta berkata, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang awam dan sebilah pisau yang digunakan turut dirampas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 18 Ogos ini.
"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.