suria

Gagal patuh SOP, tak mohon bedah siasat... Pegawai penyiasat kes Zara Qairina akan diambil tindakan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkongsi perkembangan siasatan kes kematian Zara Qairina.

PASUKAN Khas Bukit Aman mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap prosedur siasatan membabitkan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Justeru, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat dan penyelianya, susulan dapatan hasil siasatan pasukan khas berkenaan.

Tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, hasil penemuan awal mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat.

"Walau bagaimanapun, saya juga perlu mendedahkan bahawa terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa memohon supaya bedah siasat tidak dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Peguam Negara arah inkues siasat punca kematian Zara Qairina

ARTIKEL BERKAITAN: Pengetua, Penolong Kanan HEM, warden SMKA Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di JPN Sabah

"Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen 'Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri' yang dikeluarkan pihak hospital," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman pada Rabu.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya inkues dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham Zara Qairina, selaras peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu.

Remaja tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, keesokan harinya. 

Namun kuburnya digali semula pada Sabtu lalu selepas diarahkan AGC bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jasad pelajar Tingkatan 1 itu.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dikebumikan semula pada pukul 1.15 pagi Isnin di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah selepas porses bedah siasat dilakukan pada Ahad.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia