SUSPEK yang menikam seorang lelaki berusia 28 tahun sehingga maut dalam kejadian di Taman Seri Pagi, Senawang pada Isnin, bertindak demikian kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati mangsa telah mengenali isteri suspek melalui media sosial kira-kira sebulan sebelum kejadian berlaku.
"Motif kejadian ini adalah suspek bertindak membunuh mangsa selepas mengetahui hubungan sulit tersebut," kata beliau.
Menurut Ahmad Dzaffir, suspek yang berusia 31 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut ditikam depan rumah angkara selisih faham
Suspek telah ditahan sejurus selepas kejadian kira-kira pukul 7 malam, Isnin.
Polis juga merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis turut memohon dan telah mendapat perintah reman suspek sehingga 18 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen atau spekulasi di media sosial kerana kes masih dalam siasatan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas ditikam di hadapan rumah keluarganya, dipercayai akibat perselisihan faham. -The Star