MAHKAMAH Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, berhubung sabitan terhadap dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, iaitu Bella, empat tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim, Datuk Azman Abdullah, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz yang menolak rayuan akhir Siti Bainun, terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 3 Mei 2023.
Dalam penghakimannya, Azman berkata, mahkamah mendapati tiada kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen.
Siti Bainun, 33, memfailkan rayuan akhir pada 2 Mei tahun lalu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Bainun kekal dijel, rayuan ketepikan hukuman penjara 12 tahun ditolak
Semasa prosiding Siti Bainun diwakili peguam Mohd Haijan Omar, Nurul Hafidza Hassan dan Nur Aminatul Mardhiah Md Nor.
Sementara itu, pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.
Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun, yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum itu.
Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mengakibatkan remaja itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.