suria

Lelaki maut terjatuh dari tingkat 27 kondominium selepas daftar masuk bersama tunang

Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut (SDR). -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 24 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 27 sebuah unit kondominium yang disewa di Kota Syahbandar, Melaka, awal pagi Khamis.

Menurut sumber polis, kejadian tragis itu disedari kira-kira pukul 2.30 pagi oleh penghuni di tingkat lapan bangunan tersebut yang terdengar bunyi dentuman kuat dari arah kolam renang yang terletak di tingkat tujuh.

"Apabila saksi melihat susuk tubuh manusia di dalam kolam, mereka segera menghubungi pihak polis.

"Sebaik tiba, pasukan polis mengesahkan objek terapung dalam kolam renang adalah mayat seorang lelaki dengan keadaan tangan kirinya terputus dipercayai terjatuh dari tingkat atas," katanya.

Polis kemudiannya mendapatkan bantuan pihak bomba untuk mengeluarkan mayat dari kolam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar remaja maut jatuh dari tingkat 12, polis jumpa senjata api dalam kereta

Hasil siasatan mendapati mangsa telah mendaftar masuk ke unit rumah inap di kondominium itu pada pukul 12 malam bersama tunangnya yang berusia 21 tahun.

"Kira-kira pukul 2.15 pagi, mangsa memaklumkan kepada tunangnya bahawa dia terdengar bunyi ketukan di pintu unit mereka sebelum melangkah keluar ke balkoni, dipercayai dalam cubaan untuk turun ke tingkat bawah. 

"Namun, mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam kolam," ujar sumber.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan tiada individu lain yang terlibat semasa kejadian berlaku.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk tujuan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut demi menghormati perasaan keluarga mangsa. -The Star

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia