suria

“Diam, andai teruskan Aids” - Isteri Rafizi dapat mesej ugutan sehari selepas anak lelaki diserang

Rafizi mendedahkan mesej ugutan itu menerusi sidang media di Parlimen pada Khamis.

ISTERI kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menerima mesej ugutan pada pukul 1.12 pagi dan 11.02 pagi, Khamis.

Perkara itu didedahkan Rafizi yang mendakwa mesej daripada nombor yang sama berkenaan berbaur ancaman yang turut disertakan emoji picagari.

"Diam, andai teruskan Aids," demikian mesej yang dihantar individu terbabit seperti yang didedahkan Rafizi dalam sidang media di Parlimen.

Susulan itu, Rafizi memaklumkan bahawa laporan sudah dibuat kepada pihak polis.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu lagi, ugutan melalui isteri dan anak lelakinya dipercayai bertujuan memberi tekanan kepadanya.

"Saya ingat akan berterusan (ugutan). Pada hemat saya ia strategi... oleh saya kerana saya selalu tak 'makan saman'.

"Saman, lokap semua saya dah lalui, hilang jawatan aku pun tak ambil 'port'.

"Kalau beri tekanan kepada isteri dan anak lelaki saya, ia (mungkin) mempengaruhi keputusan saya," katanya.

Terdahulu pada Rabu anak lelaki Rafizi didakwa diheret sebelum dicucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba oleh seorang lelaki ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Serangan itu turut disahkan pihak polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian melibatkan dua individu itu berlaku di kawasan menurunkan dan mengambil (drop-off) penumpang.

Anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal selepas insiden.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia