PERCAYA terdapat unsur jenayah, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan Inkues untuk mengetahui punca kematian.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, juga memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Alasan permohonan wanita berusia 45 tahun itu, antaranya, dia percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian anaknya apabila menerima pelbagai percanggahan pada alasan dan punca kematian.
Dia memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, supaya perintah itu dikeluarkan terhadap Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang dinamakan sebagai responden, dan pihak berkaitan.
Ummu Haiman juga memohon supaya pendengaran permohonan notis usul ini disegerakan melalui perakuan oleh peguamnya, Datuk Naran Singh, kerana percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian anaknya apabila menerima pelbagai percanggahan pada punca kematian.
Pada masa sama, dia turut memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu bedah siasat semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nampak banyak darah keluar dari hidung, leher dan mata... Ibu pelik jenazah anak pelatih Palapes ada kesan lebam
Bedah siasat itu hendaklah dijalankan dengan kehadiran Pakar Forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan turut dihadiri Naran atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.
Dia juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.
Turut dipohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
"Alasan bagi permohonan ini, bedah siasat tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital tetapi hanya dilakukan oleh Dr George Sixtus Fernandez Jr yang juga Pegawai Perubatan gred UD10 sahaja.
Ummu Haiman Bee Daulatgun (tengah) merayu agar siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya.
"Saya percaya terdapat unsur jenayah dalam kematian anak saya apabila menerima pelbagai percanggahan pada alasan dan punca kematian.
"Saya dan keluarga tidak dapat melihat keseluruhan jasad Allahyarham semasa berada di Jabatan Forensik dan semasa jasad dimandikan dan dikapankan.
"Jasad Allahyarham juga dibawa keluar di dalam keranda yang tertutup dan dibuka apabila dipaksa oleh saya, hanya bahagian muka sahaja yang dibuka dan ditunjukkan," katanya.
Allahyarham Syamsul Haris merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.
Pelatih berusia 22 tahun itu dilaporkan meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor, pada hari berikutnya.
Pada 12 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa khas yang diwujudkan di bawah Kementerian Pertahanan bagi menyiasat kes kematian Allahyarham Syamsul Haris akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.
Malah beliau menegaskan bahawa KPT tidak melindungi mana-mana pihak dalam siasatan kematian Allahyarham dan sudah mengarahkan UTM memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa siasatan.
Jawatankuasa berkenaan turut membabitkan beberapa kementerian lain, termasuk Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Susulan siasatan yang dijalankan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan tiada unsur penderaan ke atas Allahyarham Syamsul Haris.
Malah katanya, latihan dijalankan mengikut arahan garis panduan serta prosedur ditetapkan.