KISAH tragis kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bukan hanya dibangkitkan masyarakat setempat, tetapi turut mendapat perhatian rakyat negara jiran, Thailand.
Menerusi beberapa klip video tular, ramai yang menuntut supaya keadilan ditegakkan bagi kes kematian remaja berusia 13 tahun itu, yang pada awalnya dikatakan terjatuh dari bangunan tingkat tiga asrama.
Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan akaun TikTok Pokdi, [Tonton Video] dapat dilihat empat remaja perempuan memakai seragam sekolah memegang poster 'Justice for Zara'.
Turut kelihatan beberapa individu lain berdoa dan bersembahyang mengikut ajaran agama mereka, mendoakan keadilan untuk pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah itu.
Poster 'Justice for Zara' dipegang sebagai solidariti.
Lebih menambah rasa pilu apabila video klip tersebut diiringi lagu Justice For Zara Qairina, ciptaan sepenuhnya Norsalim Ali.
Pokdi turut membuat hantaran ringkas 'Justice for Zara Qairina from HatYai, Thailand'.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya selain mendapat lebih 256,000 tanda suka dan dikongsikan kira-kira 12,900 pengguna TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Peguam Negara arah inkues siasat punca kematian Zara Qairina
ARTIKEL BERKAITAN: Gagal patuh SOP, tak mohon bedah siasat... Pegawai penyiasat kes Zara Qairina akan diambil tindakan
Ramai yang meluahkan rasa sayu sejurus menonton rakaman video berkenaan.
"Sampai ke Thailand bergema nama kau adik, justice for Zara, sampai macam ni sekali Allah angkat darjat kau dik.
"Malu, penjahat level budak-budak pun kita punya polis tak boleh settle, korupsi level apakah ni?
Antara reaksi warga maya.
"Awak siapa dik sebenarnya? Satu dunia mendoakan dan menuntut keadilan," demikian reaksi warga maya.
Dalam perkembangan terbaharu kes kematian Allahyarham Zara Qairina, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya inkues dijalankan bagi mengetahui punca kematian.
Malah sebelum ini, jabatan itu mengarahkan supaya kubur arwah digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Pasukan khas Bukit Aman yang diturunkan ke Sabah pada 11 Ogos lalu turut mendedahkan bahawa terdapat ketidakpatuhan terhadap prosedur siasatan membabitkan kematian remaja itu.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama SMKA Tun Datu Mustapha Limauan.
Remaja tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, keesokan harinya.