SEORANG wanita warga asing berusia 24 tahun ditahan selepas melanggar tiga motosikal dan menyerang orang awam menggunakan pisau berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, insiden yang berlaku sekitar pukul 11.58 pagi itu bermula apabila suspek memandu kereta secara cuai sebelum merempuh tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat.
"Suspek keluar dari kereta dan bertindak agresif sambil memegang sebilah pisau dan menyerang orang awam di lokasi.
"Orang ramai berjaya menahannya dan merampas dua bilah pisau sebelum menyerahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan malam Rabu.
Beliau memaklumkan, enam mangsa berusia antara 21 hingga 60 tahun cedera dan tiga motosikal turut mengalami kerosakan dalam kejadian itu.
Tambah Naazron, dua daripada mangsa dimasukkan ke wad, manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.
Suspek akan direman pada Khamis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial memaparkan wanita berambut panjang berbaju putih terbabit mengamuk sambil mengugut orang awam dengan pisau.
Dalam salah satu rakaman [Tonton sini], kelihatan wanita itu mengejar orang awam di tengah jalan, sebelum seorang lelaki bertindak menarik rambutnya untuk meredakan keadaan.
"Ada yang rakam dari awal sampai dia kena tangkap dengan orang awam. Aku rasa sebab dia perempuan la orang tak kasar-kasar. Kalau lelaki, habis lunyai mat. Yang bukan-bukan je.
"Paling respect (kagum) dekat abang baju hijau ni. Disebabkan dia perempuan, jadi abang tu tarik rambut dia wey. Bijak abang tu sebab nanti kalau pukul jadi kes lain pula," tulisnya di ruangan kapsyen.