suria

Lelaki bakar kekasih, diri sendiri dekat plaza tol... Orang awam cuba bantu turut melecur teruk

Mangsa mengalami kecederaan teruk akibat dibakar. -Foto IPD Kluang

SEORANG lelaki nekad menarik kekasihnya keluar dari sebuah bas sebelum membakar dirinya dan wanita itu hidup-hidup, dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam, Johor, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada pukul 5.46 pagi yang memaklumkan mengenai kebakaran kereta di lokasi berkenaan.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 44 tahun menarik mangsa, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun keluar daripada bas pekerja.

"Dia menyimbah petrol ke tubuh mangsa dan dirinya sendiri. Suspek kemudian menyalakan pemetik api sehingga menyebabkan kedua-dua mereka terbakar.

Kereta yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Kejadian turut menyebabkan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang berada di lokasi dan cuba membantu mereka melecur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Bahrin, semua mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk rawatan dan suspek serta mangsa ditidurkan kerana melecur teruk.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222, talian terus 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.

Artikel Lain

Suami Dian P Ramlee meninggal dunia