suria

Selepas sebulan, jejambat DASH ragut satu lagi nyawa... Pelajar kolej maut tercampak dari ‘flyover’

Seorang pelajar kolej swasta maut selepas terjatuh dari 'flyover' di susur 1/B 0.5 Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), pagi Sabtu. -Foto ihsan polis

SEORANG penuntut kolej swasta maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan terjatuh setinggi 21 meter dari jejambat susur Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Persiaran Mokhtar Dahari, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak dari jejambat berkenaan.

"Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam di lokasi berkenaan lalu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan jejambat.

"Kejadian mengakibatkan mangsa tercampak ke bawah pada ketinggian 21 meter dan jatuh di kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Motosikal terbabas, lelaki maut tercampak bawah ‘flyover’ setinggi 21 meter di Lebuhraya DASH

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851 atau balai polis berdekatan," katanya.

Insiden tersebut hanya berselang sebulan dari kemalangan maut yang melibatkan seorang pemuda berusia 23 tahun, Julai lalu. 

Dalam kejadian pada 24 Julai itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15 dari Persiaran Mokhtar Dahari dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas dan melanggar pembahagi 'flyover'.

Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak dan terjatuh ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa dari ketinggian lebih kurang 21 meter.

Artikel Lain