suria

[V] Lelaki bakar 2 kereta milik polis... Motosikal dinaiki turut hangus, ditinggalkan tengah jalan

Tangkap layar rakaman CCTV ketika kejadian bakar kereta pada Sabtu.

TINDAKAN seorang lelaki yang dipercayai cuba membakar dua kenderaan di sebuah rumah di Taman Bukit Katil Permai, Melaka hampir makan diri sendiri apabila motosikal yang ditungganginya turut disambar api, dalam kejadian pada Sabtu.

Kejadian pukul 1.38 tengah hari itu tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) [tonton video] menunjukkan kelibat, dipercayai suspek menyalakan api sebelum melarikan diri dari lokasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah yang juga seorang anggota polis, Mohamad Idris Mokhtar di Balai Polis Kandang pada pukul 2.29 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati dua buah kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Axia yang diletakkan di garaj rumah tersebut musnah terbakar.

"Manakala sebuah motosikal jenis SYM ditemui hangus di tengah jalan berhampiran lokasi kejadian. Motosikal yang terbakar dipercayai milik suspek dan ditinggalkan di lokasi. 

"Tiada saksi bebas dijumpai ketika kejadian berlaku, namun beberapa rakaman CCTV dari rumah mangsa sedang diteliti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian serta usaha mengesan suspek.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel Lain